Anak suka sangat mandi kolam dan teruja bila dibawa bersama. Ini antara beberapa kelebihan dan manfaat berenang yang patut anda tahu.
Baru sahaja kereta masuk di bahagian parking, anak sudah menjerit dan teruja keseronokan bila nampak laut yang bergelora. Tapi, ibu ayah jangan pelik kerana ada banyak manfaat berenang ini pada mereka.
Menjadi satu lumrah bagi kanak-kanak yang memang pantang bila jumpa air tidak kiralah air di dalam bilik mandi, air kolam renang, air laut, pantai dan sebagainya.
Dengan pantas anda akan melihat keterujaan anak yang jelas di wajah mereka walaupun air itu sejuk sekalipun mereka tetap rasa seronok untuk bermandian di dalamnya.
Tapi dalam tempoh PKP sekarang ini, terpaksalah mereka duduk di rumah dan melakukan aktiviti yang lain. Tapi tak ada salahnya untuk anda sambung aktiviti di kolam renang ini selepas tamatnya PKP nanti.
Paling tidak pun anda boleh buat kolam renang kecil di kawasan rumah bagi membiarkan anak memanfaatkan aktiviti ini.
Apapun jom kita ambil tahu apakah manfaat berenang ini bagi kanak-kanak dan bayi yang tak anda pernah tahu sebelum ini.
6 Manfaat berenang untuk bayi dan kanak-kanak
#1. Otot tubuh anak menjadi lebih kuat
Adakah ibu ayah perasan, lepas habis berenang anak-anak mesti rasa lapar atau mereka mengantuk lalu tertidur terus?
Hal ini berlaku kerana, tubuh perlu mengeluarkan lebih tenaga bagi melawan air.
Sekaligus dengan rutin berenang akan membuatkan otot tubuh si kecil akan menjadi lebih kuat terutamanya di bahagian paha, dada dan trisep.
#2. Si kecil menjadi lebih tangkas dan lincah
Kanak-kanak memang membesar dengan aktiviti yang lincah, suka bermain, tak tahu duduk diam dan lain-lain.
Atas sebab itu, kita dapat mengalakkan anak-anak melakukan aktiviti ini supaya dapat meningkatkan potensi pada diri mereka sendiri terutama dari sudut perkembangan dan pertumbuhan.
Melalui pemerhatian yang dilakukan oleh Profesor Hermundur Sigmundsson dari NTNU dan Profesor Brian Hopkins dari Lancaster University, mereka membandingkan antara 19 bayi yang selalu berenang dengan bayi lain.
Kemudian, selepas menginjak ke umur lima tahun, kana-kanak ini diuji dengan latihan keseimbangan iaitu berdiri menggunakan satu kaki, lompat tali dan tangkap bantal.
Malah ternyata kebolehan dan ketangkasan mereka sangat mengejutkan, ini kerana kanak-kanak yang suka berenang ini memiliki kemampuan keseimbangan yang lebih baik.
#3. Manfaat berenang bagus untuk jantung dan paru-paru
Selain itu, berdasarkan penelitian dari British Journal and Sports Medicine, aktiviti berenang ini dapat mengurangkan risiko terkena penyakit jantung sehingga 40 peratus.
Ia disebabkan berenang membolehkan otot jantung bekerja lebih baik dalam mengepam aliran darah ke seluruhan tubuh badan anak.
Juga memperluaskan kapasiti peparu agar dapat berfungsi dengan lebih baik.
#4. Dapat mengurangkan tekanan perasaan
Pelik bila melihat anak stres dan tertekan? Sebenarnya anak-anak juga mungkin boleh mengalami keadaan ini terutama terlalu banyak aktiviti yang perlu mereka sertai.
Sebab itu, berenang ini dapat meningkatkan hormon endorfin yang ada kaitan dengan hormon gembira dalam tubuh anak berdasarkan maklumat daripada Centers for Disease Control and Prevention.
#5. Anak lebih mempercayai dirinya sendiri
Dalam masa yang sama dengan berenang juga dapat membantu mengawal emosi dan mental kanak-kanak.
Maksudnya bila pertama kali nak masuk ke dalam air mereka mungkin berasa takut atau gementar, tapi lepas dah berendam di dalamnya mereka rasa seronok pula lalu dapat menguasai perasaan takut itu dan mempercayai diri
sendiri mampu melakukan aktiviti ini dengan baik.
#6. Mencapai milestone dengan cepat
Kajian yang dilakukan oleh Griffith Institute Australia turut menemui bahawa kanak-kanak yang terdedah dengan aktiviti renang lebih awal mencapai perkembangan milestone.
Perkembangan ini bukan hanya kemahiran motor biasa tetapi melibatkan kemahiran menulis, menerima arahan dengan mudah, penguasaan kira-kira dan lain-lain.
Kalau nak tahu menurut Kids Health, punca kematian kedua tertinggi bagi kanak-kanak dan orang dewasa adalah lemas.
Jadi dengan mengajar anak manfaat berenang ini sekaligus dapat mencegah diri mereka lemas semasa berada di dalam air.
Bahkan jika terlibat dengan aktiviti air mereka dapat menyelamatkan diri kerana sudah tahu cara mengendalikannya.
Justeru anda boleh melakukan aktiviti ini bersama anak-anak nanti sehingga wabak corona virus ini selesai.
Semoga bermanfaat.
Original article contributed by theAsianParent